PUTUS KASIH : PUNCANYA MUNGKIN KAMU
Kata orang, kalau sekali kita gagal bercinta, jangan cepat kecewa dan terus memendam luka. Hari ini, kita mungkin gagal membina menara kasih yang diimpikan. Mana tahu, mungkin esok atau lusa, kasih yang terlerai itu akan berganti juga.
Oleh kerana itu, janganlah terus bersedih. Langkah yang sebaiknya ialah mencari di mana silapnya hingga terjadinya perpisahan itu. Sebagai manusia, kita tentu ada membuat kesilapan. Jadi, inilah masanya untuk kamu bertanya pada diri sendiri, di manakah kesilapan yang telah kamu lakukan hingga terjadinya perpisahan itu.
Kadang-kadang, kita memang telah menyedari kesilapan yang telah dilakukan, cuma masih tidak ada jalan penyelesaiannya. Bagi tidak mengulanginya sekali lagi, pelajarilah sesuatu daripada kesilapan yang telah kamu lakukan itu. Kemudian bertindak segera supaya tidak terus berlanjutan.
1. "Si dia tidak menyintai aku"
Perasaan kasih dan sayang memang perlu wujud bagi setiap pasangan yang mengaku dirinya sedang dilamun cinta. Oleh kerana ingin menguji sejauh manakah kasih dan sayang si dia, lalu kamu pun cuba mengujinya. Malangnya, setiap ujian yang diberi, semuanya memberikan jawapan yang mengecewakan. Lantas di fikiranmu mulalah beranggapan, si dia tidak mencintai dirimu. Benarkah, apa yang kamu fikirkan itu?
Yang perlu kamu tahu:
Jika kamu sering meminta kepastian atau bukti cinta daripada si dia dan jawapannya selalu mengecewakan, ia boleh jadi kamu mencari seorang kekasih yang 'luar biasa' hingga si dia tidak mampu menurutnya.
Perasaan ragu-ragumu masih menguasai diri walaupun telah berulangkali si dia melafazkan kasih sayangnya padamu. Kamu sangkakan dengan menguji si dia dapat membantumu tetapi berlaku sebaliknya. Kamu kecewa. Disebabkan terlalu ingin mencari bukti kasih sayang, kamu mungkin telah melampaui sempadan yang tidak terdaya oleh si dia untuk melepasi ujian itu.
Untuk mengelakkan perkara ini, lebih baik kamu cari satu kelebihan yang ada padanya daripada terus menguji si dia. Selagi si dia tidak buat perangai, peganglah kata-kata janjinya. Itulah yang sebaiknya selain daripada terus menyimpan perasaan curiga terhadap si dia.
2. "Si dia tidak memenuhi syarat"
Jika ditanya, bagaimanakah kekasih idamanmu, tentu banyak syarat yang akan kamu letakkan. Antaranya: tampan, bergaya, kaya, jujur, penyayang, bertahi lalat, penyabar, bermisai dan......
Tapi, pertama kali bertemu dengan si dia, hatimu telah terpaut. Jantungmu bergetar bila setiap kali bertentang mata dengannya. Segala syarat yang kamu letakkan dabulu, terpaksa ditolak ke tepi. Pada saat itu, syarat yang ditetapkan bukan menjadi ukuran lagi. Sayangnya, perkara ini tidak berlanjutan. Setelah sekian lama bersama si dia, baru kamu mula teringatkan syarat-syarat yang telah kamu tetapkan sebelum ini. Terutama bila teman-teman mula memperli kamu, "Lain yang dicari, lain yang dapat." Kamu mula ingin menjauhkan diri daripadanya. Kamu mula berkata pada diri sendiri bahawa si dia yang ada di depanmu sekarang ini, bukanlah kekasih yang kamu cari selama ini.
Yang perlu kamu tahu:
Kamu sebenarnya sudah mulai keliru pada diri sendiri. Memasang impian tidaklah salah. Tapi, janganlah terlalu mengharap agar segala impian akan menjadi kenyataan.
Perlu diingatkan, syarat yang ditetapkan hanyalah sekadar impian yang memang ada pada naluri setiap manusia. Cinta pula boleh teriadi dengan pelbagai cara. Sekiranya si dia tidak mencukupi syarat-syarat yang kamu tetapkan, janganlah kamu jadikannya alasan untuk memutuskan kasih yang sedia ada. Jadikan syarat itu sekadar garis panduan supaya kamu tidak tersilap pilih orang.
Nescayalah, sekiranya kamu terus mencari kekasih yang dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, sampai bila pun kamu tidak akan ketemuinya! Fikirlah seribu kali sebelum membuat sebarang keputusan.
3. "Aku terpaksa berpura-pura''
Memang bahagia, jika kamu dan si dia sering sehaluan. Apa sahaja yang dibuat semuanya senada dan seirama. Inilah yang dikatakan sehati sejiwa.
Jika diajak pergi makan di restoran, kamu setuju. Begitu juga jika diajak menonton wayang, kedua-duanya menganggukkan kepala. Tiada langsung bantahan antara kedua-dua belah pihak. Tapi adakah ia benar pada hakikatnya? Atau kamu terpaksa berlakon sekadar untuk memuaskan hati masing-masing.
Bukan sekadar itu sahaja, kamu juga lebih suka menyembunyikan 'identiti diri' sendiri. Jika bersama teman-teman, kamu seorang yang becok dan rajin memberi pendapat, bila di depannya kamu bersikap pemalu dan sukar untuk memberikan idea. Malah, apa sahaja yang diputuskan kamu mengiyakan sahaja walaupun kamu boleh memberikan pendapat yang lebih baik.
Yang perlu kamu tahu:
Kamu tidak perlu berpura-pura demi menjaga hati masing-masing. Berterus terang adalah jalan terbaik untuk menjaga perhubungan antara kamu dan si dia. Tidak perlu berselindung-selindung. Segala yang tidak puas di hati, perlu diluahkan. Dari situlah kamu dapat mengenali antara satu sama lain.
Jangan bimbang jika si dia berkecil hati dengan kelebihan yang ada padamu. Tunjukkan kamu juga mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Sekiranya si dia seorang yang telah dewasa, dia patut berbangga dengan kebolehanmu dan belajar melihatnya dari sudut positif. Mungkin lebih baik, setelah menyedari kekurangan yang ada pada dirinya, si dia patut belajar untuk memperbaiki diri sendiri. Barulah segala-galanya berjalan dengan lancar.
4. "Aku boleh jadikannya Mr Right"
Sebelum menjalinkan percintaan, adakah kamu senaraikan di dalam kepala tentang beberapa perkara yang perlu diubah tentang diri si dia? Katamu, jika si dia ingin menjadi kekasihmu, dia patut mengubahnya. "Aku mahu dia menjadi kekasih yang terbaik untukku," itulah janjimu pada diri sendiri.
Yang perlu kamu tahu:
Kamu memang boleh berbuat demikian tapi tidak dalam semua perkara. Kamu tidak boleh sentiasa berkeras dan tidak perlu memberitahunya setiap lima minit tentang perkara apa yang kamu tidak suka!
Jika kamu berbuat demikian, ini bermakna kamu mementingkan diri sendiri. Setelah kamu memberitahunya, biar dia sendiri yang membuat keputusan dan menilai baik atau buruk sesuatu perkara itu. Anggap sahaja, tugas kamu telah selesai.
Bagaimanapun jika masih tidak berpuas hati, kamu boleh terus mencubanya tetapi dengan syarat setiap perubahan yang kamu mahukan itu mestilah disertai dengan sokongan moral kamu sendiri. Dengan dorongan daripada kamu, tentu akan lebih menyakinkan dirinya. Jika gagal juga, kamu bolehlah bertanya pada diri sendiri. Adakah si dia yang berada di depanmu, boleh menjadi kekasih pada kamu? Jawapannya, pasti kamu temui nanti.
5. "Aku dibiarkan sendiri"
Dalia cemburu bila Azmi selalu menghabiskan masanya bersama teman-teman, hobi, keluarga dan juga kerja-kerja di pejabat. Sedangkan di pihak Dalia pula, sejak bercinta dia tidak pernah keluar bersama teman-temannya. Malah, kegemaran bermain bowling telah lama ditinggalkan. Masanya lebih banyak dihabiskan bersama Azmi.
Suatu hari, Azmi tidak dapat menemaninya. Dalia terasa sepi. Kebosanan dan kesepian akhirnya telah menaikkan api kemarahan Dalia pada Azmi. Pertengkaran pun berlaku.
Yang perlu kamu tahu:
Ini adalah di antara kesilapan yang sering dilakukan oleh setiap pasangan. Kesudahannya pasti berakhir dengan kemusnahan.
Kamu sebenarnya dipengaruhi perasaan 'takut'. Oleh kerana kamu menganggap si dia adalah 'pelindung', maka perasaan bimbang mula menguasai dirimu bila setiap kali berenggang dengannya.
Kamu sepatutnya bertanggungjawab untuk membentuk kegembiraan pada diri sendiri. Buat sesuatu yang boleh menghiburkan diri kamu dan tidak sekadar mengharapkan si dia sentiasa dapat menemani kamu setiap masa. Belajar berdikari dan pastinya kamu akan menjadi kebanggaannya.
Inikah Kekasih Kamu?
· Peribadinya selalu berubah-ubab hinggakan kamu sendirl sukar untuk mengenali siapa dirinya yang sebenar.
· Kehidupan peribadinya adalah satu rahsia yang tidak boleh kamu ketahui.
· Bila keluar dating, gemar mengajak kamu ke tempat-tempat yang sunyi.
· Terlalu banyak rayuan dan pujian hinggakan kamu sendiri boleh hafal setiap apa yang dikatakan.
· Meninggalkan kamu ketika kamu mula menyatakan untuk menjalin ikatan yang lebih serius.
· Baru berkenalan tapi sudah merancang dan menggesa kamu membuat keputusan dengan segera.
· Berpura-pura baik sedangkan teman-teman mula membicarakan tentang keburakan dirinya.
· Cepat merajuk jika keinginannya yang tidak munasabah kamu tolak dengan baik.
· Tidak bersedia mendengar masalah kamu sebaliknya dengan bangga menceritakan kelebihan tentang dirinya.
· Menganggap kamu sebagai bayangan hidup masa lalunya bersama kekasih terdahulu.
Jika ciri-ciri yang di atas dimiliki oleh kekasih kamu, eloklah berhati-hati. Kesemua ciri tersebut memberi petanda kepada kamu bahawa si dia adalah seorang penipu, pembelit dan suka bertukar-tukar pasangan. Oleh kerana mereka tergolong dalam golongan yang tidak mudah putus asa, lebih baik kamu berundur sebelum kamu menjadi 'mangsa' pada kekasih sendiri. Tetapi harus di ingat.. bukan semua lelaki jahat.. masih ada yang baik di luar sana.. cuma belum berjumpa yg tepat.. Jaga Diri Hiasi Peribadi.. Kenali diri dan Muhasabah diri..
credit to: http://www.sabah.org.my/bm/nasihat/artikel_remaja/putus_kasih.htm